Tuesday 30 December 2014

'Saya terpaksa makan biskut hanyut'

25 Disember 2014

KUALA KRAI- “Ya Allah jika ini ujian kami, kami terimanya dengan redha”

Demikian luahan guru penolong kanan Sekolah Kebangsaan Menengah  Kebangsaan Manek Urai, Nor Aini Mat Nor yang bertanggungjawab menjaga 150 orang mangsa banjir yang melanda sekitar kawasan tersebut Rabu lalu.

Lokasi kawasan sekolah ini dikatakan paling terjejas kerana ia berhadapan dengan sungai dan menjadi viral di laman sosial yang mendakwa ia runtuh akibat hentaman air sungai berhampiran.

Menceritakan detik ngeri kejadian, Nor Aini yang sudah berkhidmat 20 tahun di Kementerian Pendidikan berkata, ramai penduduk kampung tidak membuat persiapan memandangkan banjir besar tidak pernah berlaku sejak 1927.

Katanya pada pagi Selasa, keadaan masih aman, namun bertukar menjadi ganas pada pagi Rabu apabila peningkatan air secara mendadak mengakibatkan orang kampung panik.

“Ia bermula di waktu Subuh, air di sungai sebelah sekolah meningkat dengan cepat, sehingga ke tingkat dua. Kami rasai gegaran yang sangat kuat kerana gelombang dan arus menghentam dinding sekolah, ia menyebabkan ramai yang mula ketakutan dan menangis,” katanya.

Malah, katanya dia dapat melihat beberapa rumah  dan kayu balak hanyut deras melalui di hadapan sekolahnya, namun bersyukur kerana ia membelok sebaik sahaja menghampiri kawasan sekolah.

“Ini adalah kuasa Allah, saya sudah redha sekiranya rumah yang hanyut itu menghempap sekolah kami, tetapi ia tidak berlaku, “katanya.

Jelasnya lagi, ekoran paras air yang sudah menghampiri tingkat tiga beberapa penduduk mengambil keputusan untuk meninggalkan sekolah menggunakan perahu menuju ke bukit berhampiran.

Katanya, walaupun ada yang mengajaknya untuk lari ke bukit, namun dia mengambil keputusan untuk bersama dengan mangsa kerana rasa bertanggungjawab dengan mereka.